Welcome to my Weblog

A Childlike Story of Me

Saturday, April 21, 2007

WANITA CANTIK GODA MALAIKAT

DIRIWAYATKAN daripada Nafi’ dari
Abdullah Umar, bahawa Rasulullah s.a.w
pernah bersabda bermaksud: “Ketika
Nabi Adam a.s diturunkan Allah ke
bumi, maka berkatalah malaikat, “Wahai
Tuhanku, mengapa Engkau hendak
menjadikan (khalifah) di bumi itu
orang yang akan membuat kerosakan
padanya dan menumpahkan darah, padahal
kami sentiasa bertasbih dengan memuji
Engkau dan menyucikan Engkau?”

Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku
mengetahui apa yang tidak engkau
ketahui.”

Malaikat berkata, “Kami adalah orang
lebih patuh kepada Engkau berbanding
anak keturunan Adam.”

Kepada malaikat, Allah
berfirman: “Panggillah ke mari dua
malaikat. Aku akan turunkan mereka ke
bumi hingga kamu dapat melihat apa
yang dilakukan kedua-dua malaikat itu!”

Malaikat menjawab, “Tuhanku, biarlah
Harut dan Marut saja yang
melakukannya!”

Harut dan Marut pun diturunkan ke
bumi, lalu Allah mencipta seorang
wanita daripada bunga (Zahrah) yang
amat cantik. Zahrah pun mendatangi
kedua-dua malaikat itu untuk
menggodanya.

Kedua-dua malaikat itu tertarik dengan
kecantikan Zahrah hingga timbullah
keinginan terhadapnya.

Zahrah berkata, “Tidak, demi Allah,
jika kamu mahu mengucapkan kalimah
musyrik ini!”

Kedua-dua malaikat itu
menjawab, “Tidak, demi Allah, sedikit
pun kami tidak mahu mempersekutukan
Allah untuk selama-lamanya!”

Zahrah meninggalkan mereka berdua.
Beberapa saat kemudian, dia kembali
lagi membawa anak kecil.

Apabila mendekati kedua-dua malaikat
itu Zahrah berkata, “Tidak demi Allah,
sebelum kamu bersedia membunuh anak
kecil ini!”

Kedua-dua malaikat itu
menjawab, “Tidak, demi Allah selamanya
aku tidak akan membunuhnya!”

Zahrah meninggalkan mereka dan datang
semula sambil membawa segelas arak.
Setelah menyapa malaikat, Zahrah
berkata, “Tidak, demi Allah, sebelum
kamu berdua minum arak ini!”

Akhirnya kedua-dua malaikat itu
meminumnya hingga mabuk dan kemudian
mereka berzina dengan Zahrah sebelum
membunuh anak kecil itu.

Apabila kedua-dua malaikat itu sedar,
Zahrah berkata, “Demi Allah, ketika
kamu dalam keadaan mabuk tadi, kamu
sudah melakukan semua yang sudah kamu
tolak sebelum ini.”

Akhirnya Harut-Marut diperintah untuk
memilih antara seksa dunia atau di
akhirat. Kedua-duanya memilih seksaan
di dunia.

Diriwayatkan Makhul daripada Mu’adz,
ketika kedua-dua malaikat itu sedar,
maka datanglah dari sisi Allah
malaikat Jibril kepada mereka.

Pada saat Jibril datang, kedua-duanya
menangis dan Jibril ikut menangis
sambil berkata, “Cubaan apakah yang
membuat kamu hanyut seperti ini?”

Mendengar ucapan Jibril itu, tangisan
kedua-duanya menjadi semakin kuat.
Jibril berkata, “Sesungguhnya Tuhan
kamu sudah memerintahkan kepada kamu
untuk memilih antara azab di dunia
atau azab di akhirat.”

Maka tahulah mereka dunia ini hanya
sementara, sedangkan akhirat kekal
abadi dan sesungguhnya Allah Maha
Pengasih dan Penyayang kepada semua
hamba-Nya. Kedua-dua malaikat itu
akhirnya memilih hukuman di dunia dan
menyerahkan nasibnya kepada kehendak
Allah.

Perawi hadis itu berkata, “Harut dan
Marut pada saat itu berada di wilayah
Badil, Parsi. Mereka digantung di
antara dua gunung pada sebuah gua
bawah tanah. Setiap hari mereka
diseksa hingga pagi.”

Ketika berita hukuman itu diketahui
malaikat yang lain, mereka mengepak-
ngepakkan sayap sambil berdoa di
Baitullah:

“Ya Allah, ampunilah anak cucu Adam
kerana kami kagum bagaimana mereka
dapat menyembah dan taat kepada Allah,
padahal mereka dikelilingi beberapa
kesenangan dan kelazatan.”

Al-Kalabi berkata, “Seterusnya
malaikat pun sentiasa memohon ampun
kepada anak cucu Adam. Inilah yang
dimaksudkan dengan firman Allah, “Dan
malaikat-malaikat bertasbih serta
memuji Tuhannya dan memohon ampun bagi
orang-orang yang ada di bumi.”

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas,
bahawa Allah berfirman kepada
malaikat, “Pilihlah tiga yang termulia
antara kamu!”

Malaikat memilih Azar, Azrayil dan
Azwaya. Ketiga-tiga malaikat itu
diturunkan ke bumi dalam bentuk dan
rupa anak Adam. Ketika Azar mengetahui
semuanya dan mengerti terhadap fitnah
yang ada, maka dia mengambil
kesimpulan bahawa dirinya tidak mampu
melaksanakannya. Akhirnya, Azar
memohon ampun kepada Allah serta
memohon maaf dan Allah mengampunkannya.

Rabi’ Anas berkata, ketika Harut dan
Marut sedar daripada mabuk, mereka
akhirnya menyedari kesalahan yang
sudah dilakukan ketika mabuk. Mereka
menyesal.

Mereka ingin naik kembali ke langit,
tetapi mereka sama sekali tidak mampu
melakukannya, malah tidak mendapat
keizinan. Mereka menangis dan meratapi
nasib mereka.

Kedua-dua malaikat itu lalu mendatangi
Nabi Idris sambil berkata, “Aku mohon
supaya engkau mendoakan aku kepada
Allah kerana sesungguhnya di langit
aku sudah mendengar bahawa engkau
disebut-sebut sebagai orang yang
soleh.”

Nabi Idris mendoakan kedua-dua
malaikat itu dan doanya dikabulkan
hingga akhirnya mereka diperintahkan
memilih antara azab di dunia atau
akhirat.

Diceritakan pula ketika malaikat
berkata kepada Allah, “Mengapa Engkau
hendak menjadikan (khalifah) di bumi
itu orang yang akan membuat kerosakan
padanya dan menumpahkan darah,” maka
mereka pun mengelilingi ‘Arsy’ selama
empat ribu tahun. Mereka memohon ampun
kepada Allah kerana menentang-Nya.

- Dipetik daripada buku Aneh, Lucu dan
Ajaib terbitan Pustaka Ilmi.

"Hai insan yang alpa Kehinaan bagi mu
Kebangaan bagi ku"

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Powered by Blogger