Welcome to my Weblog

A Childlike Story of Me

Friday, January 11, 2008

new year’s mentality

[ from my old friendster blog]

10 january 2008
1 muharam 1429H

thursday 4.23pm

HARI ini umat Islam menyelak kalendar baru 1429 Hijrah – 10 hari
selepas bulan pertama kalendar Masihi ditinggalkan. Oleh kerana,
sambutan tahun baru mengikut kalendar Islam dan Masihi begitu hampir,
maka sms dan testi mengucapkan selamat tahun baru masih
bertali arus.

Ramai juga yang bertanya apa azam tahun ini, sudah tercapaikah azam
tahun lepas atau adakah azam tahun ini adalah untuk tidak membuat
sebarang azam.

Hakikatnya, azam tahun baru hanyalah cebisan semangat untuk
menyambung apa yang tidak kesampaian pada tahun-tahun sebelumnya.
Tetapi ia bukan bermakna azam tahun baru hanya untuk mereka yang gagal
menyempurnakan cita-cita tahun lepas.

Malah dalam banyak ketika, orang yang berjaya lebih kuat azamnya
berbanding mereka yang kurang berjaya. Kejayaan yang dicapai menjadikan
seseorang itu menguatkan azam untuk melipatgandakan usaha supaya kelak
menjadi lebih berjaya.

Ia selaras dengan fitrah manusia yang tidak pernah berasa puas
dengan pencapaian masing- masing dan ingin mengecapi kejayaan yang
lebih hebat.

Contoh paling mudah, jika tahun ini kita dianugerahkan pekerja
cemerlang, sudah pasti tahun depan kita akan berazam untuk menjadi
lebih cemerlang.

Malangnya, keazaman serta tekad seumpama itu jarang dipraktikkan
oleh kumpulan yang gagal kerana kategori ini sering percaya bahawa
rezeki secupak tetap secupak, tidak akan menjadi segantang.

Lantaran itu, baik pada ketibaan tahun baru atau pada bila-bila masa
pun, kumpulan ini tidak akan berazam jauh sekali memperbaharui azam.
Seolah-olah takdir telah menetapkan bahawa mereka selama-lamanya berada
dalam kategori itu lantas tidak ada gunanya bekerja keras kerana
istilah kejayaan bukan untuk mereka.

Kumpulan ini meneruskan kelangsungan hidup bersandarkan mentaliti
menunggu bantuan, enggan berusaha meningkatkan taraf hidup serta
menyalahkan orang lain sebagai punca kegagalan hidup mereka.

Sebab itu jika diperhatikan, jarak antara kumpulan yang berjaya
dengan mereka yang menyerahkan nasib kepada takdir amat luas. Orang
yang berjaya semakin gigih manakala yang gagal terus ditinggalkan.

Tolak tepi soal ajal, tanah kubur dan jodoh yang sememangnya tidak
boleh diubah, setiap daripada kita mesti berusaha menjadikan setiap
impian satu realiti.

Hakikatnya tiada yang mustahil. Jika usaha telah dilaksanakan tetapi
kejayaan mahupun pengiktirafan masih kelihatan jauh, maka ia bukan
bermakna kita harus berhenti berusaha.

Akan sampai hari dan ketika, setiap usaha yang disertai dengan niat ikhlas akan diakhiri dengan kejayaan sebagai jawapan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Powered by Blogger